KATA pujangga, hidup tanpa kesusahan, penderitaan, dugaan dan cabaran bagaikan nasi tidak berkuah, susah senang adalah asin kerana itulah rencah kehidupan. Ia menepati sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dunia ini adalah negara tempat bala dan ujian.”
Maknanya manusia di dunia ini tidak terkecuali daripada menghadapi ujian hidup baik untuk melihat sejauh mana tahap kesabaran serta keimanan mereka, juga pendekatan digunakan bagi mengatasi dugaan yang datang.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Demi Allah yang jiwaku di tangannya! Tidak Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan ada kebaikan baginya dan tiada kebaikan itu kecuali bagi mukmin jika memperoleh kegembiraan, dia berterima kasih bererti kebaikan baginya. Jika ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya.”
Disuarakan oleh bijak pandai: “Adalah lebih baik menjadi orang beriman yang diuji, daripada menjadi orang kafir yang turut sama diuji. Bukankah lebih baik menjadi orang yang sabar ketika diuji daripada menjadi orang pemarah sedang diuji.”
Setiap ujian yang menimpa pasti terasa pahitnya atau sakit menekan perasaan kerana kebuntuan fikiran. Oleh itu, sabar adalah suatu perkara yang bukannya mudah untuk dilakukan.
Golongan yang sabar sedar mengenai kemanisan, kepahitan dan penderitaan akan berkurang bahkan hilang lenyap berganti kegembiraan. Firman Allah yang bermaksud: “Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang sabar iaitu apabila kesusahan menimpa, mereka berkata; sesungguhnya kami ini milik Allah dan sesungguhnya kepada-Nya kami akan kembali.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-156)
Kesabaran adalah kekayaan rohani yang besar, ia sebagai pangkal kebahagiaan. Dalam menghadapi kehidupan yang serba getir, semuanya perlu memiliki sifat sabar.
No comments:
Post a Comment